BAB 1
Mataku tertumpu
pada bait-bait kata yang melahirkan rasa cinta Adam a.s pada si cantik jelita, Hawa. Sungguh
romantis bibit-bibit percintaan mereka apatah lagi berada di syurga nan indah. Sungguh
Allah SWT Maha Mengetahui segala keinginan makhluknya. Hati kecilku berbicara.
Kisah
Adam a.s yang kesunyian tiada berteman walaupun kehidupan di syurga itu serba
indah dan nikmat. Namun tanpa bicara, hasrat Adam a.s terus sahaja diketahui
oleh Allah SWT dan diutuskan malaikat Jibril a.s untuk mencabut tulang rusuk
kiri Adam a.s ketika tidur. Tanpa merasai apa-apa kesakitan dan dengan kuasa Illahi
maka hanya berkata ‘kun!’ dan
terciptalah Hawa wanita tercantik menghiasi syurga.
Hawa
dikurniakan dengan kecantikan rupa paras, budi pekerti, penuh kesucian dan wajah
keibuan. Adam a.s terpegun dan jatuh hati tatkala memandang si jelita rupawan
seraya Hawa berkata ‘aku tercipta untukmu’.
Memang indah perkahwinan cinta agung ini. Disaksikan
oleh malaikat langit dan bidadari syurga. Usai sahaja akad, para malaikat dan
para bidadari syurga menyebarkan mutiara-mutiara yaqut berserta intan-intan
permata kemilau kepada pasangan pengantin agung.
Namun sayang… pasangan ini dibuang dari syurga
kerana murka dengan perintah Tuhan dengan memakan buah dari pohon larangan. Semua itu terjadi kerana
hasutan syaitan yang telah ditugaskan untuk menyesatkan umat manusia.
Iman terkesima seketika. Cuba mencari apa hikmah
disebalik kisah ini. Hanya manusia yang berjaya mengawal hati dari hasutan
iblis akan sentiasa berada di dalam rahmat Allah. Sesungguhnya Allah SWT itu
Maha Penyayang dan Maha Pengasih. Diciptakan manusia berpasang-pasangan supaya
tidak kesunyian, diberi pula nikmat kehidupan dunia. Semuanya tanpa diminta untuk
dibalas.
Bumi Allah ini terus-menerus memberikan rezeki
kepada umat-Nya dan beruntunglah kepada mereka yang bersyukur dan beribadat kepada
yang Maha Esa. Iman terus menitipkan doa agar sentiasa berada di antara golongan
orang-orang yang bersyukur dan taat kepada perintah Allah SWT.
Jam di dinding sudah mengijak pukul 12.00 malam.
Jendela dikamarnya diselak perlahan-lahan cuba mengintai bintang dan bulan di
malam hari. Angin malam menampar lembut pipinya. Disaksikan bulan yang tetap
setia memancarkan cahaya menerangi bumi, bertemankan bintang malam dan awan
gemawan yang kelam.
Sungguh Allah itu Maha Berkuasa. Setiap
makhluk ciptaan-Nya pasti berteman, seperti Hawa diciptakan untuk Adam a.s dan
bagaikan bulan ditemani kerlipan bintang. Bagaimanakah
pula putaran takdir hidupnya? Siapa yang tercipta untuknya? Pantaskah dia dicintai dan
disayangi?
Ya Allah… apa yang dia merapu malam-malam buta
ni. Dia tahu semuanya sudah tersurat di ‘Luh Mahfuz’, hanya doa dan tawakal
yang mampu dititipkan. Iman bermunajat sendirian.
Iman
sedar masih terlalu jauh untuknya memikirkan ‘cinta manusia’ itu. Semua itu
akan hadir jika percaya pada ketentuan Allah. Siapa jodohnya? Dimana jodohnya? Itu
rahsia Allah. Bagi dirinya cinta pada Tuhan melebihi segalanya.
Tidak pernah terlintasnya untuk bermain cinta,
apatah lagi masih di alam persekolahan. Namun andai cinta itu hadir mungkin
sesiapapun tidak mampu menolaknya kerana cinta itu fitrah manusia.
Malam
makin mendingin dan sunyi. Sekali-sekala sang cengkerik dan sang katak beradu
suara.
Selamat malam bulan dan
bintang. Semoga hari esok masih ada. Bicara Iman di dalam hati dan menutup
kembali jendela di kamar tidurnya.
“Iman… Iman… bangun sayang.
Solat subuh!” Ummi mengoncang-goncang lembut tubuhnya sambil memanggil-manggil
namanya.
“Pukul berapa dah Ummi?”
“Pukul 6.00 pagi dah Iman comel. Cepat bangun
nanti tengokkan adik-adik bersiap ke sekolah.”
Umminya suka memanggilnya dengan gelaran
comel. Iman mengosok-gosok mata sambil memandang Ummi yang sudah lengkap dengan
pakaian sembahyang.
“Baik Ummi. Iman bangun ni.”
Iman mula bangun sambil berjalan
terhuyung-hayang menuju ke bilik air. Semalam entah kenapa tidurnya tidak lena.
Bermimpi yang bukan-bukan. Mata pun masih mahu tertutup kerana mengantuk. Air
wuduk mula menerjah ke wajah Iman dengan tidak semena-mena matanya terus terbeliak.
“Sejuknya…!!!”
Pekikan Iman mengejutkan Umminya yang berada di
dapur. Iman menjerit terkejut di saat air wuduk yang begitu sejuk seperti ais menerjah
ke wajahnya. Dirinya menggeletar kesejukan.
Iman keluar dari bilik air dan Umminya
memandangnya sambil menggelengkan kepala.
‘‘Bertuah betul kamu ni… boleh sakit jantung
Ummi tau.’’
Iman hanya mampu tersengih sambil memeluk tubuh
yang kesejukan. Hujan renyai-renyai di luar rumah menambahkan kesejukan di
subuh hari.
Adik-adiknya sudah siap menunggu sementara Hafiz
melaungkan iqamah untuk solat subuh berjemaah. Seperti biasa Rafiq atau lebih
mesra dengan panggilan Along mengimamkan solat subuh.
Iman berasa bertuah kerana punyai adik dan abang
yang sudah boleh menjadi imam ketika di usia muda lagi. Hasil didikan Ummi
sendiri. Walaupun tanpa seorang suami di sisi. Mereka kekurangan kasih
sayang seorang ayah. Hanya kasih seorang ibu yang mengambil alih semua
tanggungjawab seorang ayah.
Lapan tahun ditinggalkan tanpa sebarang nafkah
zahir dan batin. Ibarat digantung tidak bertali. Apa salah Umminya? Kemana
ayahnya menghilang? Umminya tidak pernah mengeluh walaupun ditinggalkan tanpa
harta atau wang ringgit. Dengan berbekalkan tulang empat kerat Umminya
membesarkan mereka adik-beradik.
‘‘Ummi…sejuknya hari ini, tak nak mandilah hari
ini,’’ gurau Iman manja sambil tangannya laju menyuap jemput-jemput pisang kesukaannya.
Ummi hanya mengeleng-gelengkan kepala sambil
tersenyum memandang gelagat Iman. Anaknya
itu memang seorang yang periang dan peramah.
“Ummi,
tak lama lagi SPM. Doakan Iman ya Ummi. Iman janji akan buat sungguh-sungguh
sampai masuk universiti. Bila Iman dah kerja Ummi tak payah la kerja lagi di
kebun tu.”
‘‘In sha Allah...
Iman. Ummi sentiasa mendoakan anak-anak Ummi agar berjaya di dunia dan di
akhirat.”
‘‘Alamak! Iman dah lewat ni Ummi. Hari ini giliran
Iman bertugas kat pintu pagar depan sekolah’’.
Iman tergesa-gesa menyarungkan baju sekolah. Selesai
berpakaian Iman terus menjenguk adik-adiknya. Kebiasaannya mereka akan
bersama-sama apabila ke sekolah.
Sejak dari sekolah rendah sampailah ke sekolah
menengah mereka tidak pernah berenggang. Kasih sayang antara
adik-beradiknya amat utuh sekali. Biasanya mereka berempat tapi Along sudah
menamatkan persekolahan dan menunggu keputusan untuk memasuki mana-mana kolej.
Nasib Along kurang baik kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti.
Tetapi Iman tetap berbangga dengan Along. Sekarang dia banyak menolong Ustaz
Alim di Madrasah Al-Hidayah yang berdekatan dengan kampung mereka.
‘‘Hafiz! Soffiya!
Sudah siap ke belum?’’
‘‘Sudah kakak!’’ jawab Hafiz dan Soffiya
serentak.
Pipi dan tangan Ummi dicium tanda sayang dan
hormatnya pada Ummi. Adik-adiknya juga mengikuti apa yang dilakukannya.
Selesai bersalaman Iman terus berlari-lari anak
menuruni tangga dan mencapai basikal yang sudah sedikit uzur tetapi masih boleh
berbakti pada tuannya. Diikuti adik-adik Iman dengan basikal masing-masing.
Mujur sekolah tidak berapa jauh dapat jugalah menjimatkan wang saku tanpa
menaiki bas sekolah.
‘‘Kami pergi dulu Ummi. Assalamualaikum.’’
‘‘Jalan elok-elok, jangan lupa tengokkan
adik-adik kamu di sekolah tu,’’ laung Ummi dari lambungan sambil kedengaran
sayup-sayup Ummi menjawab salam.
