Sunday, 1 December 2013

Akukah 'soleha' mu 1

  BAB 1
Mataku tertumpu pada bait-bait kata yang melahirkan rasa cinta Adam a.s pada si cantik jelita, Hawa. Sungguh romantis bibit-bibit percintaan mereka apatah lagi berada di syurga nan indah. Sungguh Allah SWT Maha Mengetahui segala keinginan makhluknya. Hati kecilku berbicara.
Kisah Adam a.s yang kesunyian tiada berteman walaupun kehidupan di syurga itu serba indah dan nikmat. Namun tanpa bicara, hasrat Adam a.s terus sahaja diketahui oleh Allah SWT dan diutuskan malaikat Jibril a.s untuk mencabut tulang rusuk kiri Adam a.s ketika tidur. Tanpa merasai apa-apa kesakitan dan dengan kuasa Illahi maka hanya berkata ‘kun!’ dan terciptalah Hawa wanita tercantik menghiasi syurga.  
Hawa dikurniakan dengan kecantikan rupa paras, budi pekerti, penuh kesucian dan wajah keibuan. Adam a.s terpegun dan jatuh hati tatkala memandang si jelita rupawan seraya Hawa berkata ‘aku tercipta untukmu’.
Memang indah perkahwinan cinta agung ini. Disaksikan oleh malaikat langit dan bidadari syurga. Usai sahaja akad, para malaikat dan para bidadari syurga menyebarkan mutiara-mutiara yaqut berserta intan-intan permata kemilau kepada pasangan pengantin agung.
Namun sayang… pasangan ini dibuang dari syurga kerana murka dengan perintah Tuhan dengan memakan buah dari pohon larangan. Semua itu terjadi kerana hasutan syaitan yang telah ditugaskan untuk menyesatkan umat manusia.
Iman terkesima seketika. Cuba mencari apa hikmah disebalik kisah ini. Hanya manusia yang berjaya mengawal hati dari hasutan iblis akan sentiasa berada di dalam rahmat Allah. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Penyayang dan Maha Pengasih. Diciptakan manusia berpasang-pasangan supaya tidak kesunyian, diberi pula nikmat kehidupan dunia. Semuanya tanpa diminta untuk dibalas.
Bumi Allah ini terus-menerus memberikan rezeki kepada umat-Nya dan beruntunglah kepada mereka yang bersyukur dan beribadat kepada yang Maha Esa. Iman terus menitipkan doa agar sentiasa berada di antara golongan orang-orang yang bersyukur dan taat kepada perintah Allah SWT.
Jam di dinding sudah mengijak pukul 12.00 malam. Jendela dikamarnya diselak perlahan-lahan cuba mengintai bintang dan bulan di malam hari. Angin malam menampar lembut pipinya. Disaksikan bulan yang tetap setia memancarkan cahaya menerangi bumi, bertemankan bintang malam dan awan gemawan yang kelam.
  Sungguh Allah itu Maha Berkuasa. Setiap makhluk ciptaan-Nya pasti berteman, seperti Hawa diciptakan untuk Adam a.s dan bagaikan bulan ditemani kerlipan bintang. Bagaimanakah pula putaran takdir hidupnya? Siapa yang tercipta untuknya? Pantaskah dia dicintai dan disayangi?
Ya Allah… apa yang dia merapu malam-malam buta ni. Dia tahu semuanya sudah tersurat di ‘Luh Mahfuz’, hanya doa dan tawakal yang mampu dititipkan. Iman bermunajat sendirian.
Iman sedar masih terlalu jauh untuknya memikirkan ‘cinta manusia’ itu. Semua itu akan hadir jika percaya pada ketentuan Allah. Siapa jodohnya? Dimana jodohnya? Itu rahsia Allah. Bagi dirinya cinta pada Tuhan melebihi segalanya.
 Tidak pernah terlintasnya untuk bermain cinta, apatah lagi masih di alam persekolahan. Namun andai cinta itu hadir mungkin sesiapapun tidak mampu menolaknya kerana cinta itu fitrah manusia.
Malam makin mendingin dan sunyi. Sekali-sekala sang cengkerik dan sang katak beradu suara.
Selamat malam bulan dan bintang. Semoga hari esok masih ada. Bicara Iman di dalam hati dan menutup kembali jendela di kamar tidurnya.

“Iman… Iman… bangun sayang. Solat subuh!” Ummi mengoncang-goncang lembut tubuhnya sambil memanggil-manggil namanya.
“Pukul berapa dah Ummi?”
“Pukul 6.00 pagi dah Iman comel. Cepat bangun nanti tengokkan adik-adik bersiap ke sekolah.”
Umminya suka memanggilnya dengan gelaran comel. Iman mengosok-gosok mata sambil memandang Ummi yang sudah lengkap dengan pakaian sembahyang.
“Baik Ummi. Iman bangun ni.”
Iman mula bangun sambil berjalan terhuyung-hayang menuju ke bilik air. Semalam entah kenapa tidurnya tidak lena. Bermimpi yang bukan-bukan. Mata pun masih mahu tertutup kerana mengantuk. Air wuduk mula menerjah ke wajah Iman dengan tidak semena-mena matanya terus terbeliak.
“Sejuknya…!!!”
Pekikan Iman mengejutkan Umminya yang berada di dapur. Iman menjerit terkejut di saat air wuduk yang begitu sejuk seperti ais menerjah ke wajahnya. Dirinya menggeletar kesejukan.
Iman keluar dari bilik air dan Umminya memandangnya sambil menggelengkan kepala.
‘‘Bertuah betul kamu ni… boleh sakit jantung Ummi tau.’’
Iman hanya mampu tersengih sambil memeluk tubuh yang kesejukan. Hujan renyai-renyai di luar rumah menambahkan kesejukan di subuh hari.
Adik-adiknya sudah siap menunggu sementara Hafiz melaungkan iqamah untuk solat subuh berjemaah. Seperti biasa Rafiq atau lebih mesra dengan panggilan Along mengimamkan solat subuh.
Iman berasa bertuah kerana punyai adik dan abang yang sudah boleh menjadi imam ketika di usia muda lagi. Hasil didikan Ummi sendiri. Walaupun tanpa seorang suami di sisi. Mereka kekurangan kasih sayang seorang ayah. Hanya kasih seorang ibu yang mengambil alih semua tanggungjawab seorang ayah.
Lapan tahun ditinggalkan tanpa sebarang nafkah zahir dan batin. Ibarat digantung tidak bertali. Apa salah Umminya? Kemana ayahnya menghilang? Umminya tidak pernah mengeluh walaupun ditinggalkan tanpa harta atau wang ringgit. Dengan berbekalkan tulang empat kerat Umminya membesarkan mereka adik-beradik.
‘‘Ummi…sejuknya hari ini, tak nak mandilah hari ini,’’ gurau Iman manja sambil tangannya laju menyuap jemput-jemput pisang kesukaannya.
Ummi hanya mengeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum memandang gelagat Iman. Anaknya itu memang seorang yang periang dan peramah.
“Ummi, tak lama lagi SPM. Doakan Iman ya Ummi. Iman janji akan buat sungguh-sungguh sampai masuk universiti. Bila Iman dah kerja Ummi tak payah la kerja lagi di kebun tu.”
‘‘In sha Allah... Iman. Ummi sentiasa mendoakan anak-anak Ummi agar berjaya di dunia dan di akhirat.”
‘‘Alamak! Iman dah lewat ni Ummi. Hari ini giliran Iman bertugas kat pintu pagar depan sekolah’’.
Iman tergesa-gesa menyarungkan baju sekolah. Selesai berpakaian Iman terus menjenguk adik-adiknya. Kebiasaannya mereka akan bersama-sama apabila ke sekolah.
Sejak dari sekolah rendah sampailah ke sekolah menengah mereka tidak pernah berenggang. Kasih sayang antara adik-beradiknya amat utuh sekali. Biasanya mereka berempat tapi Along sudah menamatkan persekolahan dan menunggu keputusan untuk memasuki mana-mana kolej. Nasib Along kurang baik kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti. Tetapi Iman tetap berbangga dengan Along. Sekarang dia banyak menolong Ustaz Alim di Madrasah Al-Hidayah yang berdekatan dengan kampung mereka.
‘‘Hafiz! Soffiya! Sudah siap ke belum?’’
‘‘Sudah kakak!’’ jawab Hafiz dan Soffiya serentak.
Pipi dan tangan Ummi dicium tanda sayang dan hormatnya pada Ummi. Adik-adiknya juga mengikuti apa yang dilakukannya.
Selesai bersalaman Iman terus berlari-lari anak menuruni tangga dan mencapai basikal yang sudah sedikit uzur tetapi masih boleh berbakti pada tuannya. Diikuti adik-adik Iman dengan basikal masing-masing. Mujur sekolah tidak berapa jauh dapat jugalah menjimatkan wang saku tanpa menaiki bas sekolah.
‘‘Kami pergi dulu Ummi. Assalamualaikum.’’
‘‘Jalan elok-elok, jangan lupa tengokkan adik-adik kamu di sekolah tu,’’ laung Ummi dari lambungan sambil kedengaran sayup-sayup Ummi menjawab salam.


Teaser Akukah 'Soleha' mu





Diakah soleha yang menjadi bidadari di hatinya, soleha yang pernah menakluki dengup nafasnya... Izzul Islam

Pantaskah dia menjadi soleha idaman para solihin, dengan menghadirkan rasa cinta pada si dia bertiangkan cinta Allah... Nur Imani Soleha

Kehadiranmu kulepaskan pergi... kemunculanmu mentauti kembali untuk terus merebut cintamu, Iman... Isfan Hakimi